Wednesday, November 18, 2015

Pertandingan Mencipta Rekabentuk Produk Seramik Kontemporari Berteraskan Warisan Perak

Pusat Pembangunan Usahawan(anak Sykt PKNP Negeri Perak) dengan kerjasama Jabatan Seramik FSSR UiTM Perak mengadakan satu pertandingan rekacipta kaki lampu dan Giftware seramik yang akan berlangsung pada 15 Disember ini di Ipoh. Pertandingan ini hanya memerlukan lakaran sahaja . Tarikh akhir penghantaran lakaran ialah 8 Disember 2015.

Untuk makluman semua, rekaan pemenang akan diketengahkan oleh PKNP untuk menghasilkan produk untuk pasaran United Kingdom. Pertandingan ini terbuka dan percuma kepada pelajar IPTA di dalam negeri Perak serta usahawan seramik dalam negeri Perak sahaja. Sepuluh penyertaan terbaik yang terpilih perlu melakukan pembentangan produk pada 15 Disember 2015 di PKNP.

Rebutlah peluang ini dan pensyarah semua jabatan di FSSR diharap dapat menggalakkan pelajar masing-masing untuk menyertai. Hadiah lumayan juga menanti.


Segala maklumat lanjut mengenai penyertaan boleh hubungi Puan Haliza Johari dan Puan Zahirah Harun di Jabatan Seramik FSSR UiTM Perak. Terima Kasih.

Pn Haliza Johari - 017 2248532
Pn Zahirah Harun- 0125475927


Sila klik pada imej brosur dibawah:




Thursday, June 18, 2015

Program Perjumpaan Bersama Penasihat Akademik AD115

Pada hari Selasa malam, 16 Jun 2015, satu program Perjumpaan Bersama Penasihat Akademik telah diadakan di bilik TEC 104. Komitmen kehadiran pelajar jabatan terhadap program ini amat memberangsangkan. Program dimulakan oleh Puan Siti Maryam Ali Yasin dengan memberikan kata aluan. Program diteruskan dengan penyampaian pelbagai input tentang akademik pelajar dan hal-hal berkaitan di Jabatan Seramik. Selepas itu, setiap pensyarah memperkenalkan diri sebagai satu acara wajib di perjumpaan ini di setiap semester. Acara memperkenalkan pensyarah ini adalah untuk memudahkan setiap pelajar mengenali pensyarah baru (jika ada) dan lama terutamanya kepada pelajar baru di semester 01. Selepas pengenalan ini, pelajar semester 01 diperkenalkan Penasihat Akademik masing-masing. Acara terakhir program ini adalah perjumpaan bersama Penasihat Akademik masing-masing. Program ini tamat pada jam 11.00 malam.













Thursday, April 23, 2015

Pameran Diploma April 2015 - Inovasi Pencetus Idea Kreatif (IPIK)

Pada 13 hingga 17 April 2015, pelajar semester akhir (bahagian 05) di Jabatan Seramik UiTM (Perak) telah mengadakan Pameran Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Seramik April 2015, bertempat di Galeri Al-Biruni UiTM (Perak). Seramai 19 orang pelajar telah menghasilkan pelbagai karya untuk dipamerkan di pameran ini. Tema pameran iaitu Inovasi Pencetus Idea Kreatif (IPIK) memberikan kepelbagaian inspirasi karya kreatif pelajar-pelajar ini dengan mengetengahkan variasi produk dan karya seni seramik. Karya-karya pelajar ini telah memperlihatkan kemahiran seni seramik mereka dengan memberikan satu inovasi idea kreatif secara total.

Majlis pembukaan pameran diadakan pada 15 April 2015 oleh Ketua Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka iaitu Dr. Nur Hisham Ibrahim. Beliau memulakan dengan "Floor Talk", yang membicarakan tentang aspek kepentingan inovasi di dalam bidang seni lukis dan seni reka.Pembukaan ini disaksikan oleh para Koordinator Program FSSR, wakil dari Perpustakaan UiTM (Perak), para pensyarah dan pelajar di Jabatan Seramik. Acara kemuncak pembukaan pameran ini  telah menyaksikan satu acara penyerahan buku terbitan pertama Jabatan Seramik yang berjudul Inovasi Pencetus Idea Kreatif (IPIK); Pameran Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seramik) April 2015, kepada pihak Perpustakaan UiTM (Perak) sebanyak 3 naskah.

Sepanjang pameran ini berlangsung, ramai pengunjung telah hadir melawat pameran ini seperti pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar perak tengah, MRSM Pasir Salak, para pensyarah UiTM (Perak), para pelajar dan ibu bapa. Apa yang diharapkan agar pameran seumpama ini dapat memberikan impak yang tinggi terhadap perkembangan dan pengetahuan seni seramik kontemporari Malaysia. Diucapkan semoga para pelajar di semester akhir ini dapat menyambung pengajian mereka di bidang seramik ini serta dapat mengimarahkan lagi seni seramik kontemporari di negara ini.




















   

Penerbitan Buku Penulisan Akademik dan Pameran Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Seramik April 2015

Pada 15 April 2015, Jabatan Seramik FSSR UiTM (Perak) telah membuat pelancaran buku penulisan akademik dan pameran akhir diploma terbitan pertama jabatan dan yang kedua di FSSR. Penghasilan buku ini memberikan satu anjakan baru terhadap perkembangan ilmu akademik jabatan. Buku ini memuatkan sepuluh (10) penulisan akademik oleh para pensyarah Jabatan Seramik dan juga mengandungi keterangan serta karya-karya  pelajar di semester akhir di jabatan ini.

Projek penerbitan buku ini merupakan inisiatif dalam penyumbangan ilmu pengetahuan seni seramik kepada pembaca atau masyarakat umum. Secara tidak langsung, buku ini juga dapat digunakan oleh para pelajar dan penyelidik sebagai rujukan mereka. Pihak jabatan telah menyerahkan buku ini kepada pihak perpustakaan UiTM (Perak) sebanyak tiga (3) naskah sebagai koleksi perpustakaan dan rujukan para pelajar. Penerbitan ini telah mendapat banyak pujian daripada pihak perpustakaan UiTM (Perak), Timbalan Rektor Penyelidikan Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni, Ketua Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka serta para pensyarah dari jabatan lain.

Pujian harus diberikan kepada para pelajar Jabatan Seramik di semester 04, di mana mereka ini yang telah bersusah payah menghasilkan reka bentuk dan imej fotografi buku ini. Tahniah juga diberikan kepada para pensyarah yang telah menyumbangkan penulisan mereka. Semoga projek penerbitan buku ini akan menjadi satu tradisi di Jabatan Seramik UiTM (Perak) dan dapat diterbitkan di setiap hujung semester. Kepada mereka yang berminat untuk membeli buku berkenaan yang berharga RM35, boleh membuat pesanan kepada Koordinator Jabatan atau mana-mana pensyarah di Jabatan Seramik.

Muka Hadapan

Hak Cipta dan Jawatankuasa

Isi Kandungan
 
Muka Belakang

Thursday, February 12, 2015

Bicara Seramik: Potensi dan Kerjaya

Pada 10 September 2014 yang lalu, Jabatan Seramik telah menganjurkan satu program perkongsian pengalaman diantara panel penceramah dan para pelajar jabatan seramik. Program Bicara Seramik : Potensi dan kerjaya ini telah di adakan di Dewan Al-Khwarizmi UiTM (Perak) Kampus Seri Iskandar. Ianya telah dihadiri oleh seramai 145 orang pelajar Jabatan Seramik berserta para pensyarahnya. Program ini bertujuan untuk memberi  gambaran sebenar tentang kerjaya dibidang seramik dalam persepsi yang lebih luas. Bertepatan dengan tajuk bicara seramik ini, tiga panel penceramah telah dijemput bagi berkongsi pengalaman. Mereka adalah En. Mohd Al-Khuzairie b. Ali (pengarca muda seramik), Cik Norhafiza binti Mazlan (Eksekutif Pemasaran di Niro Granite Sdn. Bhd.) dan Cik Nor Atika binti Husain (Usahawan Muda Seramik dari Ceramika Enterprise).

Program selama 4 jam ini memberi banyak informasi kepada para peserta yang hadir terutamanya pelajar seramik. Disamping maklumat semasa tentang kerjaya seramik, panel penceramah juga berkongsi pengalaman yang mereka lalui serta nasihat yang amat berguna. Pemilihan penceramah dari latar belakang kerjaya yang berbeza memberikan input program yang lebih pelbagai. Persoalan bagaimana untuk menjadi seorang pengkarya seramik, atau bagaimana menerajui sebuah perusahaan sendiri atau kerjaya seramik bagi sebuah syarikat besar dirungkaikan oleh penceramah yang dijemput. Dikalangan pelajar pula, ini merupakan peluang untuk melihat seramik sebagai satu kerjaya dari pelbagai sudut.

Program bicara seramik ini mendapat respon yang amat baik dari audien. Ini boleh dilihat selepas setiap sesi ceramah, para panel dihujani dengan pelbagai soalan pada setiap perkongsian yang diberikan. Program ini memberi semangat dan dorongan kepada para pelajar seramik untuk meneruskan pengajian dan disamping dapat membuka mata pelajar tentang kerjaya dalam bidang seramik.





Alumni Jabatan Seramik dari kiri (hadapan): Nizar Rahim,  Mohd Al-khuzairie Ali, (kiri- belakang) Atikah Husain dan  Norhafiza Mazlan. 

Sebilangan pelajar Seramik yang mengikuti program ini.