Thursday, April 23, 2015

Pameran Diploma April 2015 - Inovasi Pencetus Idea Kreatif (IPIK)

Pada 13 hingga 17 April 2015, pelajar semester akhir (bahagian 05) di Jabatan Seramik UiTM (Perak) telah mengadakan Pameran Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Seramik April 2015, bertempat di Galeri Al-Biruni UiTM (Perak). Seramai 19 orang pelajar telah menghasilkan pelbagai karya untuk dipamerkan di pameran ini. Tema pameran iaitu Inovasi Pencetus Idea Kreatif (IPIK) memberikan kepelbagaian inspirasi karya kreatif pelajar-pelajar ini dengan mengetengahkan variasi produk dan karya seni seramik. Karya-karya pelajar ini telah memperlihatkan kemahiran seni seramik mereka dengan memberikan satu inovasi idea kreatif secara total.

Majlis pembukaan pameran diadakan pada 15 April 2015 oleh Ketua Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka iaitu Dr. Nur Hisham Ibrahim. Beliau memulakan dengan "Floor Talk", yang membicarakan tentang aspek kepentingan inovasi di dalam bidang seni lukis dan seni reka.Pembukaan ini disaksikan oleh para Koordinator Program FSSR, wakil dari Perpustakaan UiTM (Perak), para pensyarah dan pelajar di Jabatan Seramik. Acara kemuncak pembukaan pameran ini  telah menyaksikan satu acara penyerahan buku terbitan pertama Jabatan Seramik yang berjudul Inovasi Pencetus Idea Kreatif (IPIK); Pameran Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seramik) April 2015, kepada pihak Perpustakaan UiTM (Perak) sebanyak 3 naskah.

Sepanjang pameran ini berlangsung, ramai pengunjung telah hadir melawat pameran ini seperti pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar perak tengah, MRSM Pasir Salak, para pensyarah UiTM (Perak), para pelajar dan ibu bapa. Apa yang diharapkan agar pameran seumpama ini dapat memberikan impak yang tinggi terhadap perkembangan dan pengetahuan seni seramik kontemporari Malaysia. Diucapkan semoga para pelajar di semester akhir ini dapat menyambung pengajian mereka di bidang seramik ini serta dapat mengimarahkan lagi seni seramik kontemporari di negara ini.




















   

No comments:

Post a Comment